Bakat atau rupa jadi keutamaan?

A
A

KEHADIRAN bakat baharu dalam dunia seni hiburan tanah air hari ini dilihat cukup memberangsangkan. Saban hari ada sahaja nama-nama baru yang diperkenalkan kepada peminat seni tidak kiralah di kaca TV mahupun layar lebar.

Perkembangan ini tentunya dilihat sebagai suatu yang positif dalam usaha untuk mencari pelapis dalam industri pada masa depan.

Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan sekarang apabila bakat yang selama ini menjadi syarat penting untuk bergelar anak seni, kini seolah-olah digantikan dengan rupa paras dan elemen-elemen komersial yang ada dalam diri seseorang.

Tidak kiralah sebagai penyanyi, pelakon, pengacara dan sebagainya pakej fizikal ini menjadi syarat paling atas.

Isu ini kembali menjadi perdebatan ramai baru-baru ini apabila ada pihak yang secara terang-terangan mengakui lebih mementingkan aspek tersebut dalam mencari pelapis baharu dunia seni.

Industri sebenarnya mempunyai ramai individu berbakat yang sememangnya mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perkembangan dunia seni tempatan.

Cuma kebanyakan daripada mereka tidak diberikan ruang yang cukup untuk ke depan atas alasan kekurangan dari aspek komersial.

Justeru langkah mereka tersekat dengan sempadan yang ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu tanpa asas yang jelas demi memenuhi agenda peribadi mereka.

Namun atas sebab minat dan kecenderungan yang tinggi terhadap bidang seni, mereka berusaha keras menjual bakat dan mencari ruang untuk menempatkan diri biarpun perlu mengambil masa yang lama.

Antaranya seperti Ellie Suriaty, Amerul Affendi, Sherry AlHadad, Afdlin Shauki, Hushairi Hussein, Jihan Muse, Azhan Rani, Noorkhiriah, Shofi Jikan dan ramai lagi.

Meskipun pada awalnya nama-nama mereka kurang mendapat perhatian atas alasan komersial namun mereka berjaya membuktikan bakat mengatasi segala-galanya apabila penonton akhirnya menerima mereka, malah dalam masa yang sama turut mendapat pengiktirafan menerusi beberapa anugerah berprestij negara.

Tidak salah untuk mengambil mereka yang mempunyai rupa paras yang menarik untuk diketengahkan dalam industri, tetapi biarlah bakat tetap menjadi syarat yang paling atas.

Malah peluang yang sama rata harus diberikan kepada pelakon-pelakon lain yang mempunyai kelebihan dari segi bakat.

Biarlah tuntutan komersial dan tuntutan seni itu berjalan seiring agar ia dapat memberi manfaat kepada semua mereka yang terlibat.

Fattah Amin

Di awal kemunculan Fattah Amin, dia bersandarkan pada wajah tampan dan gelaran Hero Remaja yang dimenangi. Melalui drama Playboy Itu Suami Aku, Fattah dilabel sebagai pelakon kayu lalu menjadikan drama tersebut tidak begitu menarik untuk ditonton. Namun itu dahulu. Kini Fattah tidak kayu lagi malah lakonannya diterima ramai.

Justeru, bersandarkan wajah sahaja tidak wajar. Peluang sama rata harus diberikan kepada semua.

Ellie Suriaty

Ellie pernah tampil dalam filem antarabangsa Anna & The King (1999), malah namanya mula dikenali menerusi Spinning Gasing (2001). Cukup dikenali sebagai seorang pelakon berkarakter, Ellie telah berlakon lebih 10 filem, selain drama dan teater. Pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Soalnya siapa.

Amerul Affendi

Tanpa pakej komersial, Amerul yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan semenjak tahun 2009 ini telah membintangi lebih 15 buah filem. Meski kebanyakannya adalah watak pembantu, namun Amerul sentiasa berjaya mencuri perhatian ramai menerusi persembahan hebat dalam lakonannya. Pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 dan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015.

Sherry AlHadad

Pelakon dan pengacara Sheery AlHadad pada awal penglibatannya dalam bidang seni hanya diberikan peranan kecil baik dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan atas alasan fizikal. Bagaimanapun atas usaha keras menjual bakat, kini Sherry menyinar sebagai antara pengacara paling popular ketika ini. Selain pelbagai program TV, Sherry pernah mengacarakan Festival Filem Malaysia, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu dan lain-lain.