X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

RM100 juta bantu aktiviti pemulihan pasca banjir

Mohd Shahar ketika menghadiri Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri minggu lepas, Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, bantuan itu antara lain termasuk dana RM100 juta yang diperuntukkan bagi aktiviti pemulihan pascabanjir serta membantu pembelian peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana banjir.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan wang ihsan sebanyak RM5,000 yang akan diberikan kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia selain bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas.

Selain itu, katanya bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit dan pinjaman peribadi sehingga enam bulan meliputi kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

“Pembiayaan pinjaman peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan moratorium selama enam bulan pertama ke atas pembayar ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Untuk usahawan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), kerajaan telah menyediakan dana khusus sebanyak RM30 juta untuk pinjaman pemulihan banjir di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Tekun Nasional,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Seruandi Saad yang ingin tahu inisiatif kerajaan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah dan moratorium diberikan untuk tempoh 12 bulan serta pembiayaan kewangan sebanyak RM5,000 melalui BSN tanpa faedah atau keuntungan dengan tempoh bayaran bermula selepas enam bulan pembiayaan ditandatangani.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia turut mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM20 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui kemudahan bantuan bencana 2022.

“Kerajaan setuju memberi dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!