Penggantungan sementara VTL Malaysia-Singapura jejas sektor ekonomi Johor

Kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL antara Malaysia-Singapura bermula Khamis hingga 20 Jan depan.
Kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL antara Malaysia-Singapura bermula Khamis hingga 20 Jan depan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura bermula Khamis hingga 20 Jan depan, akan menjejaskan pembukaan semula sektor ekonomi Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, perkara itu disebabkan peniaga di negeri ini telah mengeluarkan modal baharu susulan pelaksanaan VTL darat pada 29 November lepas.

"Meskipun penggantungan ini hanya sementara iaitu 29 hari, ia tetap memberi kesan khususnya kepada sektor perniagaan di negeri ini yang bergantung kepada Singapura.

"Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dijangka mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat dan perkara tersebut antara yang akan dibincangkan bersama," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Dis lepas berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

Khairy dipetik sebagai berkata, bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.

Pada 29 November lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju memulakan inisiatif VTL melalui perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara kepada para pengembara yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: