Pencemaran toksik: Jangan keruhkan keadaan: Sahruddin

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

PASIR GUDANG - Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal mahu semua pihak tidak mengeruhkan lagi situasi pencemaran bahan kimia di kawasan Pasir Gudang.

Menurutnya, semua pihak juga diminta berhenti menangguk di air yang keruh, sebaliknya sama-sama berdoa dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di Pasir Gudang.

“Berhentilah menangguk di air yang keruh. Janganlah mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua kena hadapi di Pasir Gudang sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya di sini hari ini.

Sahruddin berkata, beliau masih ingat sewaktu kejadian banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, di mana semua rakyat Malaysia berdoa dan menghulurkan bantuan di sana.

Katanya, pada waktu itu, tiada taruhan politik, sebaliknya bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti.

“Waktu itu tidak ada Pas, Umno atau DAP. Semuanya bersatu atas semangat negara bangsa. Ini ‘common sense’. Semangat kemanusiaan. Saya sendiri berkampung di Kuala Krai berhari-hari bersama rakan taulan.

“Kami para doktor pada ketika itu sanggup ambil cuti dan pergi ke sana dengan modal sendiri lengkap dengan peralatan asas dan ubat-ubatan untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata, pada masa kini, Pasir Gudang menguji hati semua rakyat khususnya rakyat Johor.

Artikel Berkaitan:

“Cuma berbeza kali ini, saya sudah jadi wakil rakyat. Apatah lagi tangungjawab saya juga besar kerana memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar di negeri ini. Kami sudah bermesyurat sejak minggu lalu.

“Siang dan malam saya dan rakan-rakan bekerja keras bagi menangani bencana ini. Siapa yang suka melihat kejadian begini berlaku? Kita semua tidak mahu. Inilah namanya ujian. Ujian untuk menyatukan hati kita dan menguji kita semua,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua agar tidak mempolitikkan lagi isu tersebut, dan berhentilah menyebarkan berita yang tidak benar serta terus berdoa agar semuanya berjaya diatasi dengan baik.

“Saya akan terus bekerja untuk rakyat Johor,” katanya. - Bernama