'Tiga racun' dorong aktiviti tidak bermoral

Shiang Yen (kanan) ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
Shiang Yen (kanan) ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang dipengaruhi ketamakan, kebencian dan kejahilan boleh mendorong mereka terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

Setiausaha Agung Persatuan Belia Buddhist Malaysia, Eow Shiang Yen berkata, tiga sifat tersebut merupakan racun yang mampu merosakkan pemikiran masyarakat dan mudah dipengaruhi aktiviti tidak sihat.

“Tiga 'racun' ini kalau tidak dikawal oleh setiap individu maka kita akan dikawal oleh tiga racun ini.

“Sekiranya dikawal oleh racun ini, kita akan lebih mudah melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak betul dari segi moral atau perbuatan yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at Malaysia (Murshid) dan pendakwah Malaysia, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim; Pemimpin Gereja Methodist Tamil, Bishop Dr Dennis Raj manakala Nurhayati Nordin bertindak selaku moderator.

Menurut Shiang Yen, terdapat punca yang mendorong seseorang itu cenderung melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Antaranya kekurangan kesedaran moraliti, kekurangan ketakutan terhadap implikasi kegiatan tersebut, kerisauan melihat perbandingan gaya hidup lebih mewah, kekurangan kefahaman terhadap konsep dhamma.

Artikel Berkaitan:

“Ini mungkin juga disebabkan oleh kadang-kala konsep ‘self rationalism’ (muhasabah diri) melakukan perbuatan yang salah tetapi cuba membuat justifikasi bahawa keadaan itu betul,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, sekiranya masyarakat memahami dan berjaya mengawal tiga faktor utama kepada penglibatan kegiatan bermoral itu maka, kegiatan tidak bermoral di negara ini dapat dikurangkan.