Pencemaran toksik: Pas Johor desak isytihar darurat di Pasir Gudang

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Pas Johor melihat dengan penuh teliti isu yang sedang dihadapi oleh penduduk di Pasir Gudang, melibatkan pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, walaupun kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri Besar lewat petang semalam, bahawa keadaan masih terkawal, namun pihaknya mendapati bahawa keadaan sebenarnya semakin membimbangkan.

“Kerana masih lagi terdapat penduduk terpaksa dikejarkan ke pusat rawatan.

“Justeru Pas Johor menggesakan agar kerajaan Johor perlu mengambil tindakan yang lebih serius dengan mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang dengan serta- merta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdullah berkata, pengisytiharan itu supaya punca sebenar pencemaran tersebut yang telah dikenalpasti, dibersihkan dan diuruskan dengan sebaiknya.

Dimaklumkan, Abdullah akan berada di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada jam 11.30 pagi utk melawat mangsa-mangsa bencana.

Dalam satu kenyataan media lewat semalam, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup semua, 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta-merta pada semalam, sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penutupan itu berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah-sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.