Waspada akaun palsu di media sosial

No Image Caption
A
A
A

KEWUJUDAN akaun palsu di aplikasi media sosial terutama Facebook dan Twitter membimbangkan kerana ia digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk aktiviti jenayah.

Sejak Januari hingga Oktober tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 1,865 aduan berhubung penipuan termasuk melibatkan akaun palsu bagi tujuan Love Scam.

Seperti dimaklumkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM telah menubuhkan satu jawatankuasa induk bagi membanteras jenayah tersebut, sekali gus melindungi pengguna internet dalam negara.

Jawatankuasa berkenaan menyelaras dan memastikan tindakan penguatkuasaan dengan lebih pantas serta berkesan membabitkan siasatan, operasi, pencegahan dan pentadbiran.

Selain tujuan penipuan, akaun palsu digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk menularkan berita tidak sahih yang boleh mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan keselamatan negara.

Bagi kes yang dilaporkan ke SKMM, hukuman denda sehingga RM50,000, penjara atau kedua-duanya sekali bakal menanti pemilik akaun yang menyebarkan maklumat palsu di media sosial sehingga mengelirukan orang ramai.

Pemilik akaun palsu dilihat cenderung untuk menulis komen berbaur hasutan, kecaman, rasis dan sindiran bagi tujuan menyakiti orang lain atau melepaskan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu.

Tidak terkecuali, terdapat akaun palsu yang menggunakan modus operandi menyamar menggunakan gambar berbentuk abstrak atau dicuri daripada profil orang lain dengan butiran dan maklumat peribadi meragukan.

Artikel Berkaitan:

Akaun palsu kebiasaannya mempunyai senarai rakan yang sedikit kerana tujuan akaun itu dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang. Bahkan aktiviti akaun juga tiada langsung kisah berkaitan peribadi.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tidak berurusan melalui akaun media sosial yang baru dikenali terutama jika melibatkan transaksi kewangan atau aktiviti jual beli.