Jangan tuding jari 100 peratus pada Cheng Hoe

Safarizal Mohd Sobri
Safarizal Mohd Sobri
A
A
A

KELAB penyokong Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) meminta penyokong Harimau Malaya tidak meletakkan sepenuhnya kegagalan ke atas Tan Cheng Hoe selepas pasukan negara tersingkir di peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020.

Menurut jurucakapnya, Safarizal Mohd Sobri, pengendali pasukan kebangsaan itu dilihat mempunyai masa yang suntuk untuk mengumpul pemain-pemain terbaik bagi menghadapi kejohanan yang disertai pasukan dari seluruh Asia Tenggara.

"Jangan tuding jari 100 peratus pada Tan Cheng Hoe. Sepatutnya Liga Malaysia habis awal untuk kumpul pemain hadapai Piala AFF 2020 namun disebabkan oleh Covid-19 banyak perancangan yang terganggu kerana Liga Malaysia 2021 tergendala.

"Kami melihat antara punca utamanya adalah pengendali pasukan negara ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengumpulkan pemain," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan segelintir penyokong yang mahu Cheng Hoe bertanggungjawab di atas keputusan yang mengecewakan pasukan Malaysia selepaa gagal mencapai sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mara ke pentas final kejohanan pada edisi kali ini.

Jelas Safarizal, jadual Liga Malaysia yang cukup padat termasuk Piala Malaysia yang semakin hampir dengan Piala AFF 2020 menyaksikan Harimau Malaya tidak dapat berkumpul awal untuk membuat persiapan lebih rapi termasuk mengadakan perlawanan persahabatan.

"Tiada guna panggil jurulatih import sekalipun kerana kita sendiri pun gagal menyusun perjalanan liga Malaysia dengan baik. Bukan kita tidak ada pemain yang berbakat tapi masalah jadual yang padat antara punca," ujarnya.

Dalam pada itu, GULM berharap tidak ada tangan-tangan ghaib ataupun campur tangan daripada pihak ketiga yang menganggu perancangan Ketua Jurulatih Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan antarabangsa seterusnya selepas ini.

Artikel Berkaitan: