X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Siapkan projek kerajaan ikut masa ditetapkan: Saarani

Saarani (kanan) menyempurnakan gimik perasmian ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kali ke-42 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
A
A

IPOH - Semua kontraktor digesa menyiapkan segera projek-projek melibatkan kepentingan rakyat yang dianugerahkan kepada mereka mengikut masa ditetapkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, terdapat beberapa projek di negeri ini yang dikenalpasti tertangguh lama untuk disiapkan termasuk sebuah sekolah dan hospital.

Menurutnya, kelewatan menyiapkan projek-projek besar itu menyebabkan kemudahan tersebut tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

"Saya mengadakan Mesyuarat Tindakan Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan melaporkan kepada kita senarai projek-projek sakit. Jadi kadang-kadang projek sakit ini dia (kontraktor) menang tender tapi tak perform.

"Ada sesetengah (projek) setahun, dua tahun tertangguh kata nak buat sekolah di Kerian. Bertahun-tahun lamanya kita berjuang untuk dapat sekolah itu, bila dah dapat peruntukan, kontraktor tak siap.

"Jadi nama kontraktor tak baik dan yang teraniaya pelajar-pelajar yang kita telah kenalpasti ia patut ada sekolah tapi tak ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali ke-42 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan; Setiausaha Agung PKMM, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim dan ahli jawatankuasa PKMM.

Sementara itu, Saarani berharap kontraktor-kontraktor yang bernaung di bawah PKMM supaya menjaga nama baik persatuan itu dengan melaksanakan projek yang dianugerahkan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berkerjasama dengan PKMM untuk membina rumah untuk rakyat yang kurang berkemampuan.

"Sudah tentu PKMM pilih kontraktor yang perform kerana pertama nak memberi kegembiraan kepada orang miskin dapat rumah, yang kedua tak nak orang kata kalau ada kontraktor yang tak perform dia memberi imej yang tak baik kepada persatuan.

"Sebab itu mana-mana orang yang telah diberi peluang untuk membuat kerja ini tolong siapkan, jaga kualitinya dan juga menepati masa," katanya.

Pada majlis yang sama, PKMM turut mengumumkan sumbangan RM20,000 untuk bantuan kepada mangsa banjir di Selangor.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!