Thailand kesan 104 kes varian Omicron

Thailand sehingga kini sudah mengesan sebanyak 104 kes Omicron ketika negara ini mengenakan semula kuarantin wajib antara tujuh hingga 10 hari kepada pelancong di bawah “Phuket Sandbox” bermula Rabu, dalam usaha mengekang penularan varian itu. - Foto Reuters
Thailand sehingga kini sudah mengesan sebanyak 104 kes Omicron ketika negara ini mengenakan semula kuarantin wajib antara tujuh hingga 10 hari kepada pelancong di bawah “Phuket Sandbox” bermula Rabu, dalam usaha mengekang penularan varian itu. - Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - Thailand sehingga kini sudah mengesan sebanyak 104 kes Omicron ketika negara ini mengenakan semula kuarantin wajib antara tujuh hingga 10 hari kepada pelancong di bawah “Phuket Sandbox” bermula Rabu, dalam usaha mengekang penularan varian itu.

Timbalan jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Sumanee Wacharasin berkata, pesakit positif varian Omicron kini menerima rawatan di hospital.

"Sebahagian mereka telah pulih daripada jangkitan itu," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Rabu.

Pada Isnin, Thailand melaporkan penularan tempatan pertama kes Omicron melibatkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang dijangkiti virus itu daripada suaminya warga Colombia yang pulang dari Nigeria pada akhir November.

Sementara itu, Sumanee berkata, bermula 1 hingga 21 Disember, Thailand menerima ketibaan 182,578 pelancong termasuk 156,807 pelawat di bawah program "Test & Go" tanpa kuarantin dan 21,646 pelancong untuk program “Sandbox”.

Beliau berkata, pada bulan ini sejumlah 4,125 pengembara memasuki Thailand dan menjalani kuarantin antara tujuh hingga 14 hari.

“Sehingga kini, seramai 416 pengunjung disahkan positif Covid-19,” katanya.

Mulai 1 November, Thailand telah membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19 dari 63 negara dan wilayah. Sebelum ini pelancong yang mengikuti program “Test & Go” tidak perlu menjalani kuarantin.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron, Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin bermula Rabu dan tiada permohonan baharu di bawah skim Pas Thailand.

Bagi permohonan yang sudah diluluskan di bawah skim itu ia tidak tertakluk kepada peraturan baharu tersebut. Bagaimanapun, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat berkata, langkah itu hanya untuk sementara waktu.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand melaporkan 2,532 kes baharu Covid-19 dan 31 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 2,199,061 dan korban seramai 21,471. - Bernama