Henti tuding jari, fokus bantu mangsa banjir: Shahidan Kassim

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa semua pihak untuk berhenti menuding jari dan memberi fokus sepenuhnya dalam usaha membantu mangsa banjir.

Menurut beliau, banjir besar yang melanda Shah Alam baru-baru ini berlaku di luar jangkaan berikutan kawasan tersebut yang jarang sekali mengalami bencana seperti itu.

"Sebelum banjir lagi kita dah maklumkan (penduduk) untuk berpindah tetapi orang di sini tahu bahawa kawasan di sini tidak pernah berlaku banjir.

"Semua orang tak sangka benda ini berlaku jadi yang penting sekarang ini apa yang perlu kita buat untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Kalau kita nak ungkit cerita ini dia tidak akan selesaikan masalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi paling teruk terjejas banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengerahkan beberapa pasukan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu mangsa banjir di negeri Selangor.

"Saya tahu banyak orang tidak berpuas hati dalam pelbagai perkara tetapi kita akan buat yang terbaik untuk membantu negeri Selangor dan Shah Alam khususnya yang terjejas teruk.

"Kita sediakan perkhidmatan shuttle untuk memudahkan penduduk bergerak meredah banjir kita juga sediakan tandas untuk orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Air menjadi satu masalah utama jadi kita cuba edarkan air mineral sebanyak yang mungkin dan kita juga sediakan tangki air disini untuk servis tandas dan sebagainya," katanya.