X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Hentikan tohmahan isu serah bantuan banjir di hotel - YKN

Tangkap layar kenyataan YKN berkenaan terhadap gambar tular berkenaan majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di hotel pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berharap netizen menghentikan kecaman dan tohmahan terhadap gambar tular berkenaan majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di hotel baru-baru ini, sebaliknya memberi fokus atas usaha mereka membantu golongan yang dalam kesusahan.

YKN dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, majlis tersebut merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Shapadu Group bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan dalam bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, YKN telah dijemput menerima sumbangan wang tunai daripada Shapadu Group berjumlah RM150,000 di premis hotel milik syarikat itu, Hotel The Grand Campbell, Kuala Lumpur.

“Selain sumbangan wang tunai, sukarelawan Thermomix pula bergotong-royong menyediakan 1,000 pek makanan untuk mangsa banjir di hotel tersebut selain sumbangan bernilai RM69,880.

“Bantuan ini telah diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang merupakan Pengerusi YKN sebelum beliau bergegas ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menyampaikan bantuan yang disalurkan,” katanya.

Sebelum ini, tular sekeping gambar di media sosial yang mendakwa satu majlis bantuan banjir dijalankan di sebuah hotel di ibu kota hingga mendapat kecaman netizen.

Jelas kenyataan itu, YKN tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap dan sentiasa mengalu-alukan sumbangan derma daripada individu serta syarikat swasta bagi memastikan dana mencukupi.

Tambahnya, mereka juga sentiasa mengamalkan konsep terbuka dalam menerima sumbangan mengikut kesesuaian penaja atau syarikat korporat.

“Sumbangan kepada mangsa banjir boleh disalurkan kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia YKN di nombor akaun, 1601-4001-0004-801 (Alliance Islamic Bank Berhad) atau hubungi urus setia di talian 03-8323 2143/2430,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!