Polis cedera pintu simpan tayar ganti bas terkena khemah SJR

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang anggota polis cedera apabila pintu penyimpanan tayar gantian sebuah bas ekspres terbuka dan terkena pada mangsa yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 52, Jalan Johor Bahru-Mersing, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 malam itu, bas yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan sedang membawa 26 penumpang dari Larkin, Johor Bahru, menuju ke Kuala Terengganu

"Ketika melalui SJR, pintu penyimpanan tayar 'spare' bahagian belakang sebelah kanan bas terbabit telah terbuka dan terkena pada khemah SJR yang berada di tengah jalan.

"Mangsa yang berada di bawah khemah tersebut mengalami kecederaan dalaman pada bahagian belakang akibat dihempap tiang besi khemah terbabit dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Tinggi dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 52 tahun itu telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan denda tidak kurang daripada RM5,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

"Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing pemandu bas berkenaan adalah negatif dan suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal itu, mendapat rawatan pesakit luar serta sudah discaj dari Hospital Kota Tinggi,' jelasnya.

Dalam pada itu, Hussin berkata, semua penumpang termasuk kelindan bas tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: