Guna kuasa pengguna bantu KBBM

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jualan Barangan Malaysia di Langkawi, Kedah. (Foto: KPDNHEP)
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jualan Barangan Malaysia di Langkawi, Kedah. (Foto: KPDNHEP)
A
A
A

Ubah mentaliti, jadikan produk tempatan sebagai pilihan utama

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini disaran menggunakan kuasa beli mereka untuk memperkasakan industri dan produk tempatan dengan menjadikannya pilihan utama, khususnya membabitkan produk industri kecil dan sederhana (PKS).

Malah, ini adalah masa terbaik untuk masyarakat mengubah mentaliti yang menganggap barangan import adalah lebih baik daripada barangan tempatan.

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pengguna di Malaysia tidak menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada seperti mana pengguna di luar negara.

Mengambil contoh di Amerika Syarikat, pengguna di negara itu melakukannya secara bersungguh-sungguh dan bersatu hati jika kempen boikot dibuat sehingga memberi kesan kepada peniaga dan ekonomi.

“Kita boleh mengambil tindakan yang sama dan memanfaatkan kuasa pengguna dengan cara menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Dalam keadaan sekarang, mentaliti perlu diubah dengan menyokong barangan buatan tempatan. Kerajaan telah mulakan usaha KBBM dan sebagai rakyat kita sepatutnya memberi sokongan 200 peratus terhadap kempen ini.

“Kita tidak akan dapat membantu peniaga dan memulihkan ekonomi jika kita tidak membeli barangan buatan Malaysia. Apabila kita membeli barangan tempatan, aliran tunainya mengalir di dalam negara dan jika kita membeli produk import maka aliran tunainya mengalir keluarr,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

 Dr Mohamad Fazli
Dr Mohamad Fazli

Beliau yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia turut menggesa kerajaan memperhebatkan KBBM dengan bekerjasama pemasar, peniaga dan media untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia.

Selain itu katanya, medium seperti khutbah dan ceramah agama bagi orang Islam boleh digunakan sebagai satu pendekatan, begitu juga bagi penganut agama lain, untuk membantu mempromosikan sebarang bentuk kempen yang dijalankan.

Pasaran bergerak

Seiring dengan perkembangan semasa dan teknologi, pengguna kini dilihat semakin bijak dalam membeli dan memanfaatkan sistem internet dengan mula beralih membeli barangan secara dalam talian.

Dr Barjoyai
Dr Barjoyai

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, situasi ini berlaku memandangkan pengguna lebih gemar mekanisme yang lebih mudah untuk membeli atas pelbagai faktor, termasuk masa dan kos.

“Cara kempen perlu diubah kerana ia lebih tertumpu kepada kempen secara umum sedangkan pengguna tentunya nak tahu bagaimana cara barangan itu boleh didapati.

“Pengguna lebih menekankan tentang bagaimana kaedah untuk menempah dan membayar. Walaupun tanpa diskaun pengguna akan tetap membeli untuk dapatkan barangan yang berkualiti. Pengguna lebih mengutamakan perkhidmatan berbanding isu harga.

“Kaedah pasaran bergerak seperti ‘mobile market’ paling disarankan dengan cara menentukan jadual penggunaan trak secara tetap. Secara tidak langsung, ia membawa produk terus kepada pengguna,” ujarnya

Beliau turut mencadangkan agar Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, khususnya bagi produk-produk yang boleh diperolehi di dalam negara.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Pelancaran Cawangan Kedai 99 Speedmart ke-2,000 di Puncak Sentul, Kuala Lumpur. (Foto: KPDNHEP)
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Pelancaran Cawangan Kedai 99 Speedmart ke-2,000 di Puncak Sentul, Kuala Lumpur. (Foto: KPDNHEP)

Baginya, perlu ada strategi jangka pendek dan pertengahan bagi memastikan barangan keperluan asas tidak lagi perlu bergantung kepada produk import.

“Bagaimanapun, barangan import diperlukan untuk mengawal masalah harga jika berlaku situasi kekurangan bekalan barangan mentah dalam negara seperti ayam atau sayur, hingga melibatkan peningkatan harga dan membebankan pengguna,” tegasnya.

Beliau optimis dengan pasaran barangan tempatan, khususnya melibatkan produk makanan halal memandangkan barangan import halal sangat terhad.

Bagaimanapun katanya, beliau sedar negara tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengimport barangan elektronik, komputer atau telefon bimbit tetapi menyaranakn agar strategi jangka panjang perlu dilakukan untuk menangani isu ini pada masa depan.