X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

3,519 kes baharu Covid-19 hari ini

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jangkitan harian Covid-19 dalam negara terus merekodkan peningkatan buat dua hari berturut dengan 3,519 kes hari ini berbanding 3,140 kes pada Selasa.

Pada Isnin lepas, kes baharu direkodkan adalah sebanyak 2,589 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengenai situasi Covid-19 hari ini berkata, daripada jumlah kes baharu itu, hanya 65 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,454 kes lagi atau 98.2 peratus adalah kategori satu dan dua.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata, 5,118 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,647,587, manakala 331 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 187 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan dua kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah kluster masih aktif adalah 234.

Selain itu, beliau berkata, nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat Selasa adalah 0.90.

Mengenai jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), Dr Noor Hisham berkata, setakat 3 petang ini sebanyak 361 kes dikesan dalam kalangan mangsa banjir namun tiada kes positif dilaporkan di PPS.

“Pada 22 Disember, sebanyak 963 atau 27.2 peratus daripada 3,438 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar oleh pasukan perubatan di PPS,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kejadian banjir juga berisiko meningkatkan jangkitan penyakit yang lain seperti keracunan makanan iaitu acute gostroenteritis (AGE), tifoid dan kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan denggi.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 203 kes ARI, 50 kes penyakit kulit, 13 kes AGE, satu kes HFMD dan 43 kes penyakit berjangkit lain direkodkan.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan mangsa banjir supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

Mangsa banjir juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik mungkin bagi membendung penularan Covid-19 selain petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada risiko penyakit berkaitan banjir.

“KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” katanya. - Bernama

Pada 22 Disember 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 3,519 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,728,203 kes.

Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://t.co/aIQttvCbIP

Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekaligus selepas tengah malam.

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) December 22, 2021


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!