Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Osman Sapian

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada Selasa.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas menteri besar Johor itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut catatan itu.

Catatan itu juga menyatakan Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negeri Johor dan negara.

Osman, 70, meninggal di rumah anak lelakinya di Damansara, di sini pada malam Selasa dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin, selepas Zohor.

Pada 13 Oktober lalu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas dan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: