Banjir di Taman Sri Muda semakin pulih, air mulai surut

Keadaan banjir di Taman Sri Muda dilihat beransur pulih apabila paras air semakin turun. - Foto Astro Awani
Keadaan banjir di Taman Sri Muda dilihat beransur pulih apabila paras air semakin turun. - Foto Astro Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan banjir di Taman Sri Muda, antara kawasan yang terjejas teruk, dilihat beransur pulih apabila paras air semakin surut pagi ini.

Difahamkan paras air yang sebelum ini berada sehingga bumbung rumah surut ke paras pinggang sejak tengah malam tadi.

Paras air semasa direkodkan di antara lutut dan pinggang orang dewasa.

Tinjauan kru Astro AWANI yang tiba kira-kira pukul 6.30 pagi mendapati lokasi banjir masih lagi gelap dengan bekalan elektrik terputus.

Pun begitu, liputan internet dan talian telekomunikasi lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini.

Setakat pukul 8 pagi, kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terperangkap berkumpul di sekitar kawasan banjir.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membawa mangsa banjir untuk keluar dari kawasan banjir bagi menerima bantuan ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membawa mangsa banjir untuk keluar dari kawasan banjir bagi menerima bantuan ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

Turut kelihatan beberapa penduduk luar yang melalui kawasan terbabit untuk 'singgah' melihat situasi banjir.

Artikel Berkaitan:

Semalam sahaja 370 orang dibawa keluar dari Taman Sri Muda, menjadikan jumlah penduduk yang diselamatkan di kawasan itu mencecah 3,552 mangsa.

Setakat pukul 6.30 pagi ini, 12 lagi mangsa melibatkan tiga keluarga dibawa keluar selepas pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa.

Sebanyak 431 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak Jumaat lalu.

Banjir di Taman Sri Muda dilihat beransur pulih apabila paras air semakin turun. Difahamkan paras air semasa direkodkan antara lutut dan pinggang. - Awani