Baiki kelemahan pengurusan banjir

Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya hari ini.
 -Foto Bernama
Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

BANJIR luar biasa yang melanda negara terutamanya di Selangor sejak Jumaat lalu membuka mata banyak pihak khususnya agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana banjir untuk menambahbaik kesiapsagaan.

Ia susulan banyak kritikan dilemparkan terhadap kerajaan terutamanya agensi yang terlibat kerana didakwa lewat dalam menghulurkan bantuan sama ada menyelamat atau menyalurkan makanan kepada mangsa yang terjejas.

Kelewatan bantuan itu dikatakan berpunca daripada ‘kegagalan’ koordinasi antara agensi yang terlibat dan jika benar seperti didakwa ia perlu diperbetulkan segera.

Umum juga mengetahui, banjir merupakan ‘musim’ yang melanda Malaysia saban tahun khususnya di negeri-negeri Pantai Timur, justeru sewajarnya persediaan sentiasa dalam tahap terbaik, bukan seperti apa yang berlaku ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa juga tidak menafikan berlaku kelemahan dalam pengurusan bencana banjir terutamanya di Selangor sehingga meragut nyawa.

Namun katanya, kerajaan sentiasa telus dan tidak boleh menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya pengajaran perlu diambil dalam menghadapi bencana sama pada masa akan datang.

Selain itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan kekesalan terhadap sikap dan cara pengurusan banjir oleh pemimpin di negara ini.

Kata beliau, kelemahan agensi-agensi berkaitan jelas terpampang di saat rakyat negara ini diuji dengan musibah banjir.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, berbalik kepada kenyataan yang dibuat Ismail Sabri, kini bukan masanya untuk menunding jari menyalahkan mana-mana pihak tetapi apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sehabis baik untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Di saat-saat musibah ini juga seharusnya menjadi masa terbaik untuk semua pihak sama ada pemimpin, ahli politik dan rakyat berganding bahu membantu mangsa yang terjejas banjir bagi memulihkan kembali semangat mereka selepas ditimpa bencana luar biasa itu.

Apa yang pasti, seluruh rakyat tidak mahu kegagalan mengurus bencana dengan baik ini berulang pada masa datang, maka langkah segera yang perlu diambil adalah perbaiki kelemahan dan tambah baik apa yang sepatutnya.