Penduduk terkenang banjir besar 1970

Penduduk di Kampung Haji Mohd Sarip, Klang sedang membersihkan rumah mereka yang terjejas akibat banjir.
Penduduk di Kampung Haji Mohd Sarip, Klang sedang membersihkan rumah mereka yang terjejas akibat banjir.
A
A
A

KLANG - Peristiwa banjir kali ini telah mengimbau kembali ingatan penduduk di Kampung Haji Mohd Sarip, di sini akan kejadian banjir besar yang melanda hampir 50 tahun lalu.

Subarjo Suaimi, 60, berkata, banjir besar pada Disember 1970 itu berlaku sewaktu umurnya 10 tahun.

"Banjir ketika itu tidaklah seburuk banjir yang berlaku kali ini, dan untungnya ketika itu banyak rumah penduduk yang dibina lebih tinggi.

"Selepas itu pun memang berlaku banjir, namun naik pun sekadar di jalan sahaja, tak masuk sampai dalam rumah, tapi kali ini banjir naik sehingga dua meter hingga rosakkan pelbagai barangan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Mohd Sarip, di sini pada Selasa.

Menceritakan mengenai kejadian, katanya, ketika banjir berlaku, dia berada di rumah bersama isteri.

"Ketika itu hujan dah lebat serta air memang dah mula naik, jadi saya dan isteri pergi ke rumah anak yang tinggal di Alam Budiman.

"Air memang naik agak cepat, namun, saya berjaya selamatkan dokumen penting dan pakaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Subarjo menunjukkan rumahnya di Kampung Haji Mohd Sarip, Klang yang terjejas akibat banjir.
Subarjo menunjukkan rumahnya di Kampung Haji Mohd Sarip, Klang yang terjejas akibat banjir.

Penduduk, Siti Hajar Mohd Sapirin, 38, berkata, dirinya tidak mampu menahan sebak tatkala melihat keadaan rumahnya yang terjejas akibat banjir.

"Boleh dikatakan hampir 80 peratus barangan rumah saya rosak akibat banjir.

"Dah kering air mata, mujur suami dan anak-anak banyak beri semangat agar bersabar hadapi ujian ini," katanya.

Banjir yang melanda Selangor mengakibatkan lebih 5,000 penduduk di kawasan Meru terjejas.

Antara kawasan yang terlibat adalah di sekitar Jalan Paip, Jalan Teratai, Jalan Mempari dan beberapa kawasan lain di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, banjir yang berlaku pada Sabtu lalu mengakibatkan hampir keseluruhan kawasan Meru lumpuh.

"Boleh dikatakan keseluruhan Meru lumpuh, sebahagian besar ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.

"Seramai 2,000 penduduk yang ditempatkan di dua PPS sebelum ini terpaksa pulang kerana bimbang dengan keadaan rumah mereka dan mereka dinasihatkan tidak terlalu menggunakan barangan elektrik sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.