Delegasi Sidang Kemuncak Dunia bergaya dengan beg 'Pihan'

Antara para tetamu dan peserta yang hadir pada makan malam sempena sidang kemuncak dunia mengenai seni dan budaya kali ke- 8 di Taman Botani Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Bernama
Antara para tetamu dan peserta yang hadir pada makan malam sempena sidang kemuncak dunia mengenai seni dan budaya kali ke- 8 di Taman Botani Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Delegasi daripada 60 negara yang menyertai Sidang Kemuncak Dunia mengenai Seni dan Budaya Kali Ke-8 di sini, semuanya membawa beg karung anyaman rotan dikenali “Pihan'”yang dihasilkan oleh kaum Penan di Sarawak.

Hari ini, yang masuk hari ketiga sidang kemuncak dunia itu, beberapa delegasi mencuba anyaman rotan bagi menghasilkan kraftangan tradisional itu pada bengkel yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia, dengan pakar-pakar diterbangkan dari Baram, Sarawak.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip berkata melalui bengkel itu, para delegasi bukan sahaja dapat menimba pengalaman untuk cuba menghasilkan sendiri seni buatan tangan itu tetapi juga dapat membantu mempromosikannya di seluruh dunia.

"Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan masyarakat dari suku kaum itu tinggal di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar untuk memasuki kawasan itu selain keadaan logistik yang mencabar, maka amat sukar bagi mereka untuk memasarkan produk mereka walaupun untuk pasaran tempatan.

"Kraftangan Malaysia memainkan peranan utama dalam membantu kaum Penan ... kami telah menjalankan banyak program dalam mempromosikan dan menjual produk mereka, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Azran berkata walaupun beberapa program dijalankan secara kecil-kecilan, namun kesannya kepada kumpulan etnik itu sebenarnya besar kerana mereka biasanya terus mendapat tempahan dan pertanyaan mengenai produk itu walaupun selepas program berakhir.

"Coraknya adalah rumit dan kualiti kerja mereka sangat baik ... kami berharap mereka dapat bersaing dengan suku kaum lain dalam menghasilkan produk kraf tangan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Bagi penganyam rotan, Bawih Tingang, 42, yang berasal dari Rumah Panjang Long Iman di Mulu Tutoh, Baram, sidang kemuncak dunia merupakan platform terbaik bagi mereka untuk mempromosikan pelbagai kraf tangan yang dihasilkan oleh kaum itu kepada seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Berbekalkan pengalaman selama 30 tahun dalam anyaman rotan, Bawih berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya satu minggu untuk menyiapkan beg tangan rotan, yang biasanya akan dijual kepada pelancong asing yang melawat bandar itu.

"Ketika saya masih kecil, saya mengfhasilkan beg contohnya “Bukui”, “Pihan” dan “Gaweng” untuk kegunaan peribadi ... tetapi sekara ramai pelancong melawat Sarawak dan ada banyak cara untuk menjualnya, jadi saya boleh menjana pendapata hasil daripada bakat saya, " katanya.

Salah seorang delegasi, Pengarah Pacifica Arts Centre, New Zealand, Jarcinda Stowers, berkata beliau benar-benar menikmati pengalaman menyertai bengkel tenunan dan percaya bahawa rakyat di negaranya akan menyukai produk kaum Penan yang menggunakan teknik tenunan yang unik dan berbeza.

Bagi Pengurus Kanan International Council of Arts England, Nicola Smyth yang berkongsi pandangan Stowers, berkata melihat jari jemari ;penganyam yang pantas melakukan anyaman benar-benar membuatkan beliau teruja.

"Ia pasti sukar kerana jari saya besar tetapi ia memang menyeronokkan dan memberi pengalaman baharu untuk melakukan sesuatu yang kreatif dan berseni kerana anda boleh menghasilkan corak yang sangat indah dengan hanya menggunakan rotan," katanya.

Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya kali Ke-8 berlangsung di KL Performing Arts Centre (KL PAC) di sini.

Sidang kemuncak bertemakan “Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan (Mobile Minds: Culture, Knowledge & Change) itu ialah anjuran bersama International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Sidang kemuncak itu antara lain menawarkan peluang untuk mengukuhkan hubungan di kalangan masyarakat madani, memupuk kerjasama antara sektor bukan berasaskan keuntungan dan kerajaan, selain membolehkan organisasi dan institusi seni berinteraksi. - Bernama