Skuad Musa'adah Agensi Agama digerakkan bantu mangsa banjir

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi-agensi di bawahnya telah menggerakkan pasukan Skuad Musa'adah Agensi Agama untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, skuad berkenaan sedang bergerak untuk berkhidmat di semua kawasan yang terjejas di seluruh negeri-negeri yang terlibat dalam bencana ini.

"Setakat ini, sejumlah RM 6.03 juta telah diperuntukkan kepada mangsa terlibat dalam tragedi yang begitu menyedihkan ini.

"Agihan peruntukan itu melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berjumlah RM 550,000, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (RM 1.63juta) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (RM 1 juta).

"Selain itu, Tabung Haji (RM 1.6 juta), Pusat Pungutan Zakat MAIWP (RM 750,000) dan Yayasan Taqwa MAIWP (RM 500,000)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, semua bantuan itu akan disalurkan dalam pelbagai bentuk sumbangan iaitu barangan asas dan keperluan segera, kit-kit ibadah, bekalan makanan kering dan basah, Food Bank dan makanan siap, penempatan tinggal sementara dan pelbagai lagi.

"Saya berharap bantuan yang telah diperuntukkan ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh semua yang terlibat dalam tragedi ini.

"Saya akan terus pastikan bantuan ini segera sampai kepada yang memerlukan. Dari semasa ke semasa, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melaporkan perkembangan semasa bantuan kepada mangsa banjir yang amat terkesan ketika ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan: