Lebih 71,000 mangsa banjir di tujuh negeri

Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya pada Selasa. - Foto Bernama
Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 71,876 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri setakat petang ini, dengan Selangor dan Pahang terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Keadaan banjir di Selangor turut menyebabkan penutupan tiga Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) melibatkan daerah Petaling dan Kuala Langat, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi hantaran di laman Facebook.

Penutupan CAC di Petaling melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Seksyen 19, Shah Alam yang akan dipindahkan operasinya di KK Puchong Batu 14, Puchong dan KK Taman Medan, manakala CAC di daerah Kuala Langat membabitkan KK Jenjarom dan KK Bukit Changgang, dipindahkan perkhidmatannya ke KK Telok Datok, Banting.

Setakat jam 4.30 petang tadi, jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 26,247 orang daripada 7,413 keluarga yang ditempatkan di 134 PPS.

Mangsa banjir meredah takungan air banjir di pintu masuk pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang pada Selasa. - Foto Bernama
Mangsa banjir meredah takungan air banjir di pintu masuk pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang pada Selasa. - Foto Bernama

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir turut meningkat kepada 41,455 orang yang berada di 278 PPS melibatkan sembilan daerah, dengan Kuantan terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir.

Laluan di dua lebuh raya utama Pahang yang dinaiki air sejak Ahad lalu juga masih tidak boleh dilalui iaitu di Bentong ke Karak bagi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lanchang ke Temerloh di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1).

Di KUALA LUMPUR, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, 350 orang masih berada di PPS, melibatkan 287 mangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sarazwathy Lembah Pantai; PPS Kelab Sultan Sulaiman (55) dan PPS Dewan Jalan Hamzah (lapan).

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa laporan berkaitan tanah runtuh telah dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan 47 lokasi antaranya di Jalan Bukit Ledang, Damansara; Jalan Pantai Permai; Jalan Perkasa, Taman Salak Selatan; Jalan Parlimen; Semantan Villa; dan Seri Duta 1, Bukit Tunku.

“Pihak Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah dilantik oleh DBKL untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain itu, DBKL juga mengenal pasti lokasi pokok tumbang dan dahan serkah menerusi siasatan di tapak, serta aduan awam dengan lebih 40 lokasi telah dibersihkan.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata, 766 orang daripada 188 keluarga masih berada di enam PPS melibatkan daerah Jelebu, Port Dickson dan Seremban, setakat 4 petang.

Di KELANTAN, Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM negeri Zainuddin Hussin berkata, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 6 petang dengan 2,617 orang daripada 815 keluarga, berbanding 3,667 orang daripada 1,101 keluarga pada tengah hari tadi.

Penduduk kampung meredah banjir untuk memindah perkakasan elektrik dan barangan peribadi menggunakan bot ke tempat yang lebih selamat ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Setengah, Changkat Jong pada Selasa. - Foto Bernama
Penduduk kampung meredah banjir untuk memindah perkakasan elektrik dan barangan peribadi menggunakan bot ke tempat yang lebih selamat ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Setengah, Changkat Jong pada Selasa. - Foto Bernama

Sebanyak 15 PPS dibuka melibatkan dua jajahan di negeri itu iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai.

Di MELAKA, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan kepada 173 mangsa daripada 44 keluarga petang Selasa.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, hanya tiga PPS masih beroperasi selepas tiga lagi PPS di daerah Alor Gajah ditutup pada petang ini iaitu PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar, PPS Surau Sri Jeram dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Di PERAK, 268 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak selepas kediaman mereka masih digenangi air, menurut jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak. - Bernama