Sila log masuk terlebih dahulu.

Agensi kerajaan jangan leka, lebih proaktif bantu mangsa banjir: Agong

Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara. - Foto Facebook Istana Negara
Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa menyeru agensi kerajaan yang berkaitan supaya tidak leka dan lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan mangsa banjir.

Seri Paduka Baginda bertitah ini termasuklah dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa terperangkap termasuk mereka yang berada di pedalaman.

Menerusi catatan dimuat naik di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut mengulangi titah baginda supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di semua pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan semua pihak yang berada di PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir dan menasihati rakyat agar mematuhi semua arahan dan perintah yang dikeluarkan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang,” menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di negara ini tidak berlarutan dan segera berakhir.

Catatan itu turut menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu menguruskan mangsa banjir.

Sebelum itu, Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Dewan Kampung Sega Lama, SK Muhammad Jabar, Dong dan Balairaya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di lima PPS tersebut selain berkenan mengurniakan sumbangan buat 277 keluarga di kesemua PPS tersebut dan berharap ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa akibat musibah banjir.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat tanpa mengira masa, tempat dan cuaca,” menurut catatan itu.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di PPS pertama iaitu di SK Ulu Sungai pada 12 tengah hari, disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. - Bernama