Banjir: LZS sedia dana RM1 juta bantu keluarga mangsa

Saipolyazan ketika sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah.
Saipolyazan ketika sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di negeri tersebut dengan membabitkan peruntukan wang zakat sebanyak RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan pemberian bantuan untuk meringankan beban mangsa terlibat.

Menurutnya, mesej akan dihantar kepada asnaf LZS mengunakan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui jika golongan tersebut terlibat dalam banjir dan meminta bukti seperti laporan polis beserta gambar sebelum sumbangan disalurkan ke dalam akaun bank mereka.

“Untuk keluarga yang bukan asnaf, kita akan menunggu maklumat daripada Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum bantuan disalurkan kepada mereka yang terjejas,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, LZS turut memberikan sejumlah RM10,000 kepada setiap Ketua Operasi Agihan Daerah untuk digunakan sebagai bantuan kecemasan bagi mangsa banjir menerusi Tabung Kecemasan Banjir LZS.

Ujarnya, peruntukan menerusi tabung tersebut yang berjumlah RM90,000 itu akan ditambah sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Selain itu, sejumlah RM250,000 diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang menempatkan mangsa banjir.

Saipolyazan berkata, sumbangan tersebut dibuat menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

“LZS juga menyediakan 5,000 pek makanan bermasak setiap hari bermula semalam yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Saipolyazan turut memaklumkan bahawa LZS akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan pasca banjir untuk membantu mangsa yang terlibat dengan bencana tersebut terutamanya dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi terlibat.

Katanya, golongan asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah supaya bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan berdasarkan kepada syarat dan kelayakan.

“Peruntukan maksimum bagi setiap rumah adalah RM31,500 dan akan diberikan mengikut keperluan serta tahap kerosakan yang terjadi.

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan sewaktu banjir,” katanya.