Jawatankuasa Pengurusan Bencana pusat, negeri lipat ganda usaha

Ismail Sabri Yaakob pada pertemuan bersama para pengamal media selepas melawat mangsa-mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah Bera, hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob pada pertemuan bersama para pengamal media selepas melawat mangsa-mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah Bera, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri serta semua agensi terlibat untuk melipatgandakan usaha, kerja menyelamat serta membantu mangsa banjir di semua tempat terjejas.

Menerusi hantaran Facebook miliknya pada Selasa, beliau berkata, tindakan respons bencana perlu digerakkan segera oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan dibantu oleh jawatankuasa yang sama di peringkat negeri.

"Ketetapan ini sudah ada dalam prosedur standard operasi bencana. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Pejabat Daerah dan kerajaan negeri yang merupakan barisan hadapan dalam menangani bencana banjir," katanya

Perdana menteri berkata, beliau juga telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), mengoperasikan pam air mudah alih di Taman Sri Muda, Klang yang terjejas teruk untuk mengepam keluar air genang ke Sungai Klang petang semalam dan 21 pam air sudah beroperasi sejak 2.30 pagi tadi.

Menerusi hantaran itu, Ismail Sabri juga memaklumkan telah mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir sekali lagi daripada Menteri Besar, Ketua Menteri serta wakil kementerian yang terlibat.

Beliau memaklumkan menerima taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkenaan laporan terkini situasi banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Katanya, selain perkembangan jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), beliau turut menegaskan tentang langkah pemulihan pasca banjir yang perlu dilakukan bagi membantu penduduk termasuk membaik pulih infrastruktur awam seperti penyelenggaraan sistem saliran dan pembersihan rumah.

Ismail Sabri turut menyentuh berkenaan senarai nama mangsa banjir yang terjejas bagi pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga tegaskan, BWI ini akan diberikan kepada ketua isi rumah setiap kali mereka terjejas dengan bencana banjir," katanya. - Bernama