Ahli Dewan Negara: Keputusan undian cetus tanda tanya

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

IPOH - Keputusan pengundian bagi memilih Ahli Dewan Negara pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Isnin mencetuskan persoalan terhadap sokongan yang diterima oleh calon Pakatan Harapan (PH).

Daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hanya 55 sahaja yang mengundi manakala empat lagi ADUN iaitu Datuk Samsuddin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning), Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) tidak hadir.

Seramai 33 wakil kerajaan dan 22 wakil pembangkang terlibat dalam pengundian tersebut dengan 54 undi diterima manakala satu undi rosak.

Dua calon yang dikemukakan oleh PH iaitu daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Termizi Ramli memperoleh 20 undi manakala calon dari DAP, Nga Hock Cheh pula memperoleh undi penuh wakil pembangkang sebanyak 22 undi.

Bagaimanapun, keputusan memihak kepada calon daripada UMNO, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang memperoleh 32 undi dan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memperoleh 34 undi sekali gus dipilih sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu.

Pertambahan dua undi yang diperoleh Iskandar Dzulkarnain berbanding Shamsudin menimbulkan tanda tanya kerana Ahmad Termizi tidak mendapat undi penuh daripada blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.

Pencalonan Ahmad Termizi yang juga bekas Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dibuat Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) dan disokong Ng Shy Ching (PKR-Teja) manakala Hock Cheh pula dicalonkan Loh Sze Yee (DAP-Jalong) dan disokong Teoh Yee Chern (DAP-Astaka).

Pemilihan dibuat melalui undian bersurat yang diedarkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi mengakui terdapat kemungkinan ADUN pembangkang yang tidak memberikan undi kepada Ahmad Termizi, sebaliknya undi tersebut berpihak kepada Iskandar Dzulkarnain.

"Ada (kemungkinan ADUN pembangkang tidak memberi undi kepada Ahmad Termizi), tapi saya tak tahu siapa," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Muhammad Arafat yang merupakan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berkata, partinya memang tidak menghantar calon bagi Ahli Dewan Negara tersebut dan semua parti dalam PH bersetuju menyokong dua calon berkenaan.

Menurutnya, ketiadaan dua undi kepada calon Amanah memang disedari dan perkara itu mungkin akan dibincangkan bersama rakan-rakan dalam PH.