Kuota khas bantu OKU peroleh pekerjaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melanjutkan program ‘Malaysia Short-term Employment Programme’ atau MySTEP pada tahun depan dengan menyediakan 80,000 peluang pekerjaan bagi membantu mengurangkan pengangguran termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sejajar dengan usaha memastikan golongan OKU mendapat peluang pekerjaan, kerajaan turut menetapkan satu peratus sebagai kuota khas kepada OKU bagi program MySTEP 2022.

“Berdasarkan pencapaian 2021 sebanyak 61,000 orang telah ditempatkan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Kementerian Kewangan di persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata, peserta yang tamat MySTEP tidak diserap secara automatik.

Prosedur serta tatacara pengambilan pekerja dalam perkhidmatan awam dan GLC masih terpakai sepertimana lazimnya, katanya.

“Namun, kerajaan yakin peserta ini bakal mempunyai kelebihan untuk terpilih dalam sesi temu duga berbekalkan pengalaman yang diperolehi melalui MySTEP,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 memperuntukkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU, selaras dengan usaha meningkatkan lagi keupayaan modal insan khususnya OKU.

MySTEP merupakan program yang menawarkan peluang pekerjaan jangka pendek secara kontrak dalam sektor awam dan GLC dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran.

Artikel Berkaitan:

Ia memberi peluang kepada peserta mendapatkan pengalaman kerja sebenar sekali gus membuktikan kebolehan kepada majikan.

Berlandaskan pengalaman itu, diharapkan peluang mereka mendapat pekerjaan di pasaran terbuka adalah lebih baik. - Bernama