FAMA Pulau Pinang lancar tabung bencana

Mohd Azraie (tengah) ketika melancarkan tabung bencana dalam program jualan istimewa MyRakyat@Ara Kuda, pada Selasa.
Mohd Azraie (tengah) ketika melancarkan tabung bencana dalam program jualan istimewa MyRakyat@Ara Kuda, pada Selasa.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang melancarkan tabung bencana untuk manfaat kumpulan sasar dan usahawan yang terjejas akibat banjir.

Pengarahnya, Mohd Azraie Ramli berkata, inisiatif mewujudkan tabung ini bagi membantu meringankan beban usahawan dan petani bagi fasa pasca banjir.

"Bila berlakunya banjir besar seperti ini, tanaman juga akan musnah sama sekali dan mereka perlu memulakan semula kehidupan termasuk mendapatkan tempat tinggal yang baharu dan sebagainya.

“Buat masa ini kita tidak letakkan sebarang sasaran namun kita telah hebahkan perkara ini kepada masyarakat setempat yang hadir ke program yang kita anjurkan supaya mereka turut membantu sekadar termampu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program jualan istimewa MyRakyat@Ara Kuda pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Azraie berkata, bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian pada musim tengkujuh, FAMA Pulau Pinang telah mewujudkan bilik gerakan sebagai persediaan untuk menghadapi cuaca buruk.

Jelasnya, bilik gerakan berkenaan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 malam bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka.

Selain itu katanya, kewujudan bilik gerakan itu juga menunjukkan kebersamaan FAMA negeri dengan masyarakat, entiti swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan dalam membantu membuat persediaan menggerakkan bantuan ke mana sahaja lokasi atau destinasi yang terkesan akibat banjir pada musim tengkujuh.

"Musim tengkujuh ini biasanya akan berlarutan sehingga ke bulan Januari dan Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap dengan adanya bilik gerakan ini dapat berfungsi sebagai pusat untuk membantu golongan sasar seperti para petani yang mengalami kesukaran membawa keluar hasil pertanian mereka,” katanya.