Aeon Shah Alam mohon maaf

Aeon Mall Shah Alam - Foto sumber internet
Aeon Mall Shah Alam - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Aeon Mall Shah Alam membuat permohonan maaf terbuka kepada mangsa yang terperangkap akibat banjir yang didakwa dihalau pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan tersebut, ia merupakan pertama kali mereka berhadapan situasi berkenaan dan tidak menyangka hujan berterusan akan menyebabkan banjir besar.

Aeon Mall melalui satu kenyataan pada Selasa memberitahu, maklumat awal yang diberikan kepada pelanggan bahawa operasi harian mereka tamat pada jam 10 malam setiap hari dan tidak menyedari situasi sebenar banjir kilat di Shah Alam.

“Bagaimanapun keputusan membenarkan pelanggan, kakitangan serta penyewa berlindung di dalam premis pada jam 9.40 selepas menerima lebih banyak pertanyaan dan menyedari jalan utama ditutup, air sungai melimpah dan jalan raya ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Aeon Mall turut memaklumkan, pihaknya membantu 570 pelanggan, 173 kakitangan dan 255 penyewa yang terkandas sejak Sabtu itu dengan memberi pakaian, air mineral, susu tepung, lampin pakai buang, roti, tuala dan bantal terutama kepada bayi kerana kuantiti agak terhad.

“Satu ruang berhawa dingin dengan keluasan 6,400 kaki persegi di tingkat tiga yang boleh menampung kapasiti untuk 200 orang telah dibuka dan kakitangan kami berusaha membantu pelanggan terbabit.

“Kakitangan kami yang tiada kemahiran atau pengalaman untuk mengendalikan operasi begitu tetap berusaha sepenuh hati dalam menghulurkan bantuan.

“Kepada yang menghargai, kami ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Sokongan anda merupakan dorongan kami untuk terus memberikan yang terbaik walau di dalam keadaan yang getir,” katanya.

Artikel Berkaitan: