CSM kumpul RM13,200 dalam tempoh 24 jam

Sukarelawan menyusun barangan keperluan untuk dibawa bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
Sukarelawan menyusun barangan keperluan untuk dibawa bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
A
A
A

ALOR SETAR - Canser Survivors Malaysia (CSM) berjaya mengumpul dana berjumlah RM13,200 dalam tempoh 24 jam melalui Misi Bantuan Banjir CSM bagi membantu mangsa banjir di Selangor.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, setakat jam 12 tengah hari, pihaknya berjaya mengumpulkan sejumlah dana sumbangan orang ramai daripada keseluruhan RM40,000 dana disasarkan.

"Walaupun baru dilancarkan, Alhamdulillah kita dapat mengumpul sejumlah itu untuk dibelanjakan membeli barang keperluan membantu dan meringankan beban mangsa banjir.

"Dana sumbangan orang ramai ini akan digunakan membeli 300 toto, 300 tuala, 300 selimut, 200 telekung, 600 berus gigi dan 300 ubat gigi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, mereka turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti kain batik, kain pelikat, tuala wanita dan lampin pakai buang daripada beberapa penyumbang selain sumbangan wang.

Katanya, barangan berkenaan akan disalurkan kepada kira-kira 450 keluarga di Kampung Sungai Serai dan Taman Nanding, Hulu Langat dan Setia Alam yang terjejas akibat banjir.

"Kita terkesan dan sedih dengan bencana yang menimpa mangsa banjir terlibat sekali gus terpanggil membantu mereka.

Beliau berkata, setakat ini, lori pertama dari Kedah yang membawa sumbangan toto, selimut dan tuala tiba bagi memberi bantuan barangan keperluan berkenaan pada mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

Zuraini memberitahu, sekumpulan sukarelawan lagi akan bergerak dengan empat kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori bersama barangan keperluan termasuklah 100 karton air mineral pada Rabu.

"Bagaimanapun, ramai sukarelawan dari negeri lain berada di Selangor untuk terus membantu mangsa banjir ini dan diharapkan sedikit sebanyak sumbangan ini dapat mengurangkan penderitaan mereka," katanya.

Orang awam ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukannya melalui akaun Maybank 552068522859 atas nama Canser Survivors Malaysia (CSM).