Banjir: MB Selangor sumbang sebulan gaji

Amirudin pada sidang akhbar perkembangan terkini situasi banjir Selangor di Bilik MTES, Bangunan SSAAS pada Selasa.
Amirudin pada sidang akhbar perkembangan terkini situasi banjir Selangor di Bilik MTES, Bangunan SSAAS pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersedia menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan mengumpul dana melalui Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit yang dilancarkan bagi membantu mangsa banjir.

Menurutnya, Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit itu dilancarkan untuk mengumpul sumbangan daripada pihak luar ke lokasi terjejas.

"Sebagai sinergi dan kesepakatan bersama dengan semangat #KitaSelangor, kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit (Bendahari Negeri Selangor: CIMB Bank - 8604747531) sebagai platform kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya syarikat-syarikat swasta, GLC, NGO serta orang perseorangan untuk sama-sama menyumbang ke arah pemulihan kawasan-kawasan yang terjejas dengan musibah banjir

"Saya akan sumbangkan sebulan gaji sebagai permulaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perkembangan terkini situasi banjir Selangor di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangir (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan seramai 17 korban banjir direkodkan di Selangor setakat jam 8 pagi Selasa melibatkan 10 kematian di Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Menurutnya, kematian bukan hanya melibatkan orang awam tetapi seorang daripada mereka merupakan sukarelawan banjir.

"Kita sedang kenal pasti punca kematian sama ada disebabkan lemas banjir, terputus bekalan ubat-ubatan atau faktor lain.

Artikel Berkaitan:

"Mewakili kerajaan negeri, saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa banjir khususnya mereka yang kehilangan orang tersayang,"

Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan sumbangan RM10, 000 kepada keluarga mangsa terkorban dan RM1, 000 kepada setiap keluarga terkesan banjir.

"Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelepasan bayaran bil air selama sebulan di lokaliti terjejas serta penangguhan pembayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah melibatkan kos RM15 juta," katanya.