Pencemaran toksik: Semua sekolah di Pasir Gudang diarah tutup

Maszlee ketika melawat mangsa-mangsa kes sisa toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Taman Pasir Putih Pasir Gudang, kelmarin. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang, Johor, diarah tutup serta merta hari ini sehingga ke satu tarikh akan diumumkan kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee dalam satu kenyataan malam ini, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Sehubungan itu, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di sekolah-sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih.

“Pihak Kementerian Pendidikan memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) ekoran pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Khamis lalu.

Kes pencemaran toksik yang masuk hari ketujuh hari ini, menyaksikan jumlah kes baharu meningkat apabila pelajar dan murid beberapa lagi sekolah di sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih kerana mengalami sesak nafas, loya dan muntah. - Bernama