Laporan penuh fenomena kepala air Gunung Jerai siap hujung tahun

Simbolik Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas antara Abdullah dan Noorulhuda di Loji Rawatan Air Tupah, Merbok pada Selasa.
Simbolik Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas antara Abdullah dan Noorulhuda di Loji Rawatan Air Tupah, Merbok pada Selasa.
A
A
A

MERBOK - Laporan penuh kajian awal bencana geologi, tanah runtuh dan aliran debris berikutan fenomena kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu, dijangka diperoleh sebelum penghujung tahun ini.

Pengarah Mineral dan Geosains Malaysia, Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebelum dikeluarkan secara rasmi.

Menurutnya, kajian itu dilaksanakan dengan kos sebanyak RM250,000 menggunakan peruntukan sedia ada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tahun ini.

"Kita telah mendapat laporan awal daripada pihak konsultan tentang kesan atau punca kejadian tanah runtuh dan aliran debris Gunung Jerai.

"Di samping itu pihak JMG juga telah melaksanakan kajian awal dan kami telah sama-sama mengeluarkan satu laporan khususnya punca kejadian dan apakah cadangan serta kajian terperinci yang akan dilaksanakan pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mineral dan Geosains Malaysia, Hisamuddin Termidi, Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Asli, Tenaga, Saliran dan Pengairan Kedah, Datuk Suraya Yaacob.

Turut menyaksikan penyerahan antara Abdullah dan Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, Noorulhuda Mohammed Ali ialah Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, Hanif Ghazali.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut Abdullah, kajian terperinci yang akan dijalankan berhubung perkara itu tertakluk kepada peruntukan yang akan diluluskan pada 2022.

Menurut Abdullah, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk melaksanakan kajian keseluruhan fenomena kepala air Gunung Jerai membabitkan kesan atau akibat berlakunya bencana geologi, tanah runtuh dan aliran debris pada 18 Ogos lalu.

Dalam kejadian terbabit, enam mangsa terkorban manakala lebih 1,000 keluarga dari Daerah Yan dan Kuala Muda terjejas apabila tempat tinggal mereka ditenggelami banjir lumpur.