Tidak sangka suami pulang sebagai jenazah

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tandop Besar, Tekai Kanan, di sini, pada Isnin.(Gambar kecil) Allahyarham Mohd Zaidi
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tandop Besar, Tekai Kanan, di sini, pada Isnin.(Gambar kecil) Allahyarham Mohd Zaidi
A
A
A

PADANG TERAP - Seorang suri rumah tidak menyangka suaminya akan pulang sebagai jenazah selepas ditemui lemas apabila lori yang dipandunya ditenggelami air di laluan berhampiran Jalan Simpang Desa Coalfields, Kuala Selangor, Selangor, pada pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, Mohd Zaidi Ariffin, 45, dipercayai cuba menyelamatkan diri namun tidak berjaya apabila ditemui lemas kira-kira lima meter dari lokasi dilaporkan hilang pada jam 5.10 petang Ahad oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan Bestari Jaya.

Isteri mangsa, Siti Sofiah Md Yazid, 42, memberitahu, arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat beras di Bukit Raya, Pendang, di sini, sempat berjanji akan pulang ke rumah.

"Kali terakhir, saya bertemu dengan arwah suami pada Sabtu lalu dan dia menyatakan ingin menghantar beras dan akan pulang semula pada malam tersebut, namun langsung tidak menyangka pulang sebagai jenazah.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun ada meluahkan hasrat ingin membeli seekor lembu untuk majlis kesyukuran memasuki rumah baharu," kata Sofiah kepada pemberita ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Kubang Bemban,di sini, Isnin.

Bagaimanapun, ibu kepada lima anak yang berusia antara 2 hingga 17 tahun itu memberitahu, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun tidak menyangka suaminya antara korban dalam kejadian banjir di Selangor.

Siti Sofiah, seorang suri rumah kini hilang tempat bergantung selepas kehilangan suaminya dalam kejadian itu.

Laporan Sinar Harian pada 19 Disember 2021
Laporan Sinar Harian pada 19 Disember 2021

Artikel Berkaitan:

Ibu mangsa, Saibah Ahmad, 65, berkata, dia juga reda dengan pemergian anak kedua daripada lima beradik itu meskipun tidak sempat berjumpa dengan arwah buat kali terakhir.

Menurut Saibah, arwah anaknya ada datang ke rumah bertemu adik lelakinya untuk mengirimkan wang belanja sebanyak RM200 untuk perbelanjaan harian namun dia tidak ada di rumah kerana keluar menoreh getah.

Sementara itu, jenazah arwah Mohd Zaidi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tandop Besar, Tekai Kanan, di sini.

Jenazah dibawa dari Selangor tiba di Kampung Kubang Bemban, di sini, dikebumikan sambil diiringi ahli keluarga pada jam 10 malam Isnin.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan ahli keluarga, kenalan dan sahabat di Masjid Tandop Besar,di sini.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seorang pemandu lori lemas apabila kenderaan ditenggelami banjir dalam kejadian di laluan berhampiran Jalan Simpang Desa Coalfields, Kuala Selangor, Selangor.