Warga emas maut nahas tiga kenderaan

Perodua Kancil dipandu mangsa remuk teruk akibat kemalangan itu.
A
A

TEMERLOH - Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 162 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, Ahmad Hamzah, 66, dari Felda Kumai, Triang yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mangsa memandu Perodua Kancil bersama dua penumpang datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Kancil terbabit masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander.

"Perodua Kancil itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi SUV jenis Lexus RX350 Luxury yang berada di belakang Mitsubishi Outlander.

"Akibat pertembungan itu, pemandu Perodua Kecil tersebut tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpangnya hanya cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, pemandu kedua-dua SUV yang berusia 51 dan 48 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk bedah siasat manakala dua lagi yang cedera ringan turut dirawat di hospital sama.

Dua penumpang, iaitu isteri mangsa, Rosmanita Masduki, 44, yang duduk di bahagian hadapan patah gigi dan luka di bahagian kaki, manakala kakak ipar Ahmad, Rosmalawati, 46, cedera di kepala dan tangan kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.