Keluarga Malaysia terus dilindungi MySalam

No Image Caption
A
A
A

Setakat 30 September 2021, MySalam telah bayar tuntutan hospitalisasi dan penyakit kritikal lebih RM180 juta kepada 125,000 pesakit.

PUTRAJAYA - Berpegang kepada peribahasa sediakan payung sebelum hujan, kerajaan tampil meneruskan inisiatif pemberian Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim MySalam kepada Keluarga Malaysia dengan peruntukan khas RM50 juta melalui Bajet 2022.

Skim perlindungan masyarakat MySalam itu bukan sahaja memanfaatkan kelompok B40 bahkan faedahnya turut dinikmati golongan belia dalam kumpulan tersebut.

Inisiatif itu dilakukan ekoran keprihatinan kerajaan terhadap perlindungan kesihatan Keluarga Malaysia dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

MySalam dilancarkan kerajaan pada 24 Januari 2019 bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada rakyat miskin seluruh Malaysia menerusi Tabung Amanah MySalam.

Langkah itu dilakukan kerajaan untuk membantu golongan miskin dan belia yang memerlukan bantuan bagi mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.

Indikator penerima yang layak dilindungi skim berkenaan ketika itu adalah B40 iaitu isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah yang penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH).

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Selepas diperkenalkan, skim berkenaan terus diperluaskan dari tahun ke tahun dengan pelbagai penambahbaikan dilakukan.

Pada peringkat awal, skim itu memberi perlindungan kepada 36 penyakit kritikal sebelum ia terus diperluaskan kepada 45 penyakit kritikal termasuk Covid-19, alzheimer atau demensia teruk, angioplasti dan rawatan invasif lain untuk penyakit arteri koronari dan meningitis bakteria.

Penerima yang layak turut diperluaskan iaitu terbahagi kepada tiga kategori membabitkan individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan, individu bujang berumur antara 40 hingga 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun serta individu orang kurang upaya (OKU) yang berumur antara 18 hingga 65 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun.

Melalui skim itu, penerima yang layak akan menerima pembayaran tunai RM8,000 yang dibayar cuma sekali apabila didiagnos salah satu daripada 45 penyakit kritikal.

Penerima juga akan menikmati elaun gentian hospitalisasi harian sebanyak RM50 sehingga 14 hari atau maksimum RM700 setahun di mana-mana hospital kerajaan, hospital tentera dan hospital universiti.

No Image Caption

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 30 September 2021, MySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak lebih RM180 juta kepada 125,000 pesakit.

"Di samping itu, seramai 229,000 individu juga telah menerima pampasan disebabkan Covid-19 dengan nilai keseluruhan RM115 juta," katanya ketika pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu.

Ekoran manfaat besar skim itu kepada rakyat, Tengku Zafrul menegaskan menerusi Bajet 2022 skop MySalam diperluaskan meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.

"Bagi tahun hadapan, skim MySalam akan diperluas kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima MySalam yang layak," katanya.

Selain itu, menerusi Bajet 2022, golongan belia yang mendapat manfaat daripada MySalam juga menikmati faedah di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja.

Inisiatif JaminKerja adalah jaminan yang diberikan kerajaan dari segi penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Ketika pengumuman Bajet 2022 juga, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan RM2 bilion.

Inisiatif JaminKerja itu juga dilihat menjadi kesinambungan kepada insentif pengambilan pekerja PenjanaKerjaya dengan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion yang diperkenalkan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pada Jun 2020.

No Image Caption

Melalui PenjanaKerjaya, syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan beli yang dianggarkan memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

Dua insentif diberikan iaitu insentif RM800 sebulan bagi menggaji setiap penggangur berumur bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan bagi menggaji penggangur berumur 40 tahun dan ke atas serta golongan OKU di mana semua insentif itu diberikan selama enam bulan.

Di bawah inisiatif JaminKerja, majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja akan menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan JaminKerja Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Perkeso akan merangsang lebih banyak pewujudan pekerjaan oleh majikan.

"Sebagai kesinambungan kepada kejayaan program perantisan sebelum ini, JKIP akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan ia dijenamakan semula sebagai SIP Perantisan.

“Seiring dengan perkembangan ekonomi gig, JKIP turut menyediakan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan kepada individu yang terlibat dalam pekerjaan gig yang dijenamakan semula sebagai Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Gig bagi menggantikan nama Program KerjayaGig,” ujarnya.