ATM laksana Ops Murni di lapan negeri

Affendi Buang
Affendi Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Operasi Murni di kawasan terjejas banjir di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 63 pegawai dan 856 anggota termasuk kumpulan sokongan telah diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

"Mereka juga turut melaksanakan tugas penyediaan dan pengagihan makanan serta sebagai 'liason officer' (pegawai perhubungan) di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Affendi berkata, sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir.

"Kita juga telah mengaturgerakan aset-aset seperti trak tiga, lima dan tujuh tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Malaysia apabila diperlukan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.

"Kita sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Ia termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain," katanya.

Artikel Berkaitan: