SMIDEX 2021 bantu PMKS bangkit semula teruskan perniagaan

Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perasmian SMIDEX 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perasmian SMIDEX 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), telah menganjurkan Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) sejak tahun 1996.

Pada tahun ini, penganjuran SMIDEX 2021 merupakan kali ke-21 di mana ia dianjurkan dalam keadaan agak mencabar ketika seluruh dunia dilanda penularan wabak Covid-19.

Penganjuran SMIDEX 2021 yang bermula 1 hingga 23 Disember ini diadakan dalam norma baharu apabila berlangsung sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MyAssist MSME.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Disember lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri memuji Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kerana telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara sejak bertahun lamanya.

“Jika pada tahun 2010, sumbangan PMKS kepada KDNK berjumlah RM298 bilion namun pada 2020, jumlah ini telah meningkat 72% kepada RM512 bilion.

“Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata, kerajaan akur bahawa sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19, dengan 95.3% mengalami penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan.

Artikel Berkaitan:

“Hampir dua tahun dunia menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi akibat pandemik Covid-19. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah melaporkan bahawa ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif sebanyak 3.1% pada tahun 2020 dan Malaysia turut terkesan dengan pertumbuhan negatif 5.6% pada tahun yang sama.

Penganjuran SMIDEX 2021 diharap akan membuka lebih banyak ruang bagi membolehkan PMKS tempatan mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas, seterusnya meningkatkan aktiviti perdagangan.
Penganjuran SMIDEX 2021 diharap akan membuka lebih banyak ruang bagi membolehkan PMKS tempatan mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas, seterusnya meningkatkan aktiviti perdagangan.

“Sejak Mac 2020, sejumlah RM196 bilion telah diperuntukkan untuk membantu PMKS dalam menangani kesan wabak Covid-19. Langkah-langkah tersebut telah dan sedang dilaksanakan melalui sepuluh pakej ekonomi yang komprehensif termasuk dua pakej belanjawan tahunan.

“Pakej-pakej rangsangan ini bertujuan menangani permasalahan yang dihadapi PMKS terutamanya dari segi pembiayaan, aliran tunai, pengekalan pekerja, pembangunan modal insan dan penerapan teknologi dan digitalisasi,” jelasnya dalam ucapan tersebut.

Bertemakan ‘PMKS: Bangkit Kembali!’, objektif SMIDEX adalah bagi menghargai sumbangan PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS tempatan.

Selain itu, penganjuran pameran tersebut turut bertujuan memupuk budaya keusahawanan dan juga sebagai platform untuk menyebarkan maklumat terkini kepada PMKS.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, tema SMIDEX 2021 iaitu PMKS: Bangkit Kembali! dilihat bertepatan dalam membantu PMKS memulihkan semangat di dalam perniagaan serta bergerak semula setelah terjejas kesan daripada wabak penyakit.

Beliau turut berharap penganjuran SMIDEX 2021 akan membuka lebih banyak ruang bagi membolehkan PMKS tempatan mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas, seterusnya meningkatkan aktiviti perdagangan dan menyerlahkan kewujudan produk dan perkhidmatan tempatan secara menyeluruh di peringkat antarabangsa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, penganjuran SMIDEX 2021 kali ini disertai oleh pelbagai kementerian, agensi serta beberapa pemegangtaruh dari sektor swasta, bertujuan memberi sokongan padu kepada PMKS di seluruh negara untuk bangkit memulakan dan meneruskan perniagaan, terutamanya pasca wabak Covid-19.

Terdapat banyak aktiviti yang menanti PMKS seperti e-pameran, sesi biz-talk, technology need pitching, khidmat nasihat dalam talian, sesi padanan perniagaan dan banyak lagi.

E-Pameran - Orang ramai boleh datang ke SMIDEX 2021 dengan mengunjungi e-Pameran di mana terdapat 150 ‘booth’ pameran maya oleh PMKS dari seluruh negara yang menyajikan pelbagai produk dan perkhidmatan.

MeetMe - Seramai 121 Kaunselor Perniagaan terlatih akan membantu serta memberikan khidmat nasihat secara dalam talian secara percuma kepada PMKS.

MatchMe – Sesi padanan perniagaan yang menghubungkan PMKS dengan syarikat-syarikat anchor seperti AEON, Lazada, CELCOM, FAMA, UOB dan sebagainya.

Sesi Biz-Talk - sesi perkongsian maklumat oleh rakan-rakan strategik mengenai pelbagai topik perniagaan seperti pengurusan kewangan, digitalisasi, penjenamaan dan pengurusan perniagaan.

Antara topik yang akan dibincangkan adalah seperti Exploring New Business Horizon Via Digitalisation by HP and Microsoft, Get The Right Shot For A Better Financial Health by MIDF, SME Bank and Maybank dan banyak lagi.

Technology Need Pitching – Sesi pitching PMKS yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka bersama penyedia teknologi yang berpotensi seperti universiti, institute penyelidikan dan rakan strategik seperti Oracle NetSuite, TM, Huawei, Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan sebagainya.

Maklumat lanjut berkaitan aktivitiaktiviti yang akan berlangsung sepanjang SMIDEX 2021, sila ikuti media sosial SME Corp. Malaysia (Facebook, Instagram, LinkedIn & Youtube) atau lawati laman sesawang www.smidex.my.