Orang ramai hantar bantuan banjir, penuhi parkir stadium

Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi
Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi
A
A
A

SEREMBAN - Penyatuan rakyat Malaysia dalam membantu mangsa-mangsa banjir jelas terserlah apabila timbunan beg plastik dan kotak berisi pelbagai jenis barangan keperluan dihantar ke parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini pada Ahad.

Program pengumpulan barangan untuk mangsa banjir yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia dan Persatuan Belia Dinamik Barat itu nyata mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Shahril
Mohd Shahril

Pengerusi Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia, Mohd Shahril Anuar, 36, berkata, dia tidak menyangka program yang hanya diuar-uarkan di Facebook dan WhatsApp itu mendapat sambutan luar biasa.

"Membantu mangsa-mangsa banjir ini bukan perkara baharu buat kami. Tapi nampaknya sambutan kali ini di luar duga.

"Program bermula dari jam 12 tengah hari sehingga jam 4 petang, orang ramai tak putus-putus hantar bantuan sehingga menyebabkan jalan masuk ke stadium ini sesak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kesemua barangan berkenaan akan disusun di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes) dan balai raya Taman Ampangan.

Apa yang menjadi masalah pihaknya ketika ini kata Mohd Shahril, adalah untuk membuat pengasingan barangan kerana kekurangan sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

"Barang yang dihantar ini terlalu banyak. Jadi kita alu-alukan kepada sesiapa saja yang mahu membantu membuat kerja-kerja pengasingan barangan mengikut jenis datang ke Kombes.

Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi untuk mangsa banjir.
Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi untuk mangsa banjir.

"Barang-barang ini kita akan hantar kepada mangsa banjir di Negeri Sembilan dan selebihnya di Klang dan Shah Alam, Selangor," katanya.

Beliau juga mengharapkan orang ramai dapat menulis label jenis barang pada plastik atau kotak yang dihantar supaya lebih mudah membuat pengasingan.

Sementara itu Nik Mohd Azizuddin Nek Sariffuddin, 31, berkata, dia dan isteri telah menghantar pakaian terpakai kerana menyedari ramai yang terpaksa keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Saya nak bantu dengan kewangan tak mampu. Jadi, saya bantu setakat yang mampu.

"Bila berlaku tragedi begini, kita rakyat Malaysia perlu bersatu," katanya.