Kakak maut, dua adik parah kereta rempuh tunggul kayu

Keadaan kereta dinaiki tiga beradik yang musnah terbakar di lokasi. - Foto ihsan polis
Keadaan kereta dinaiki tiga beradik yang musnah terbakar di lokasi. - Foto ihsan polis
A
A
A

SETIU - Seorang maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan, di sini, pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, yang memandu kereta jenis Honda City disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Setiu.

Kedua-dua penumpang, Siti Nur Ummi Nabihah Abdul Aziz,19, dan Nur Qaseh Balqis Abdul Aziz, 10, pula mengalami kecederaan parah dan kini berada dalam keadaan kritikal menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Chalok Kedai, Setiu menghala ke Pantai Penarik Rhu 10, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa yang juga seorang guru hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tunggul pokok menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.

"Ketiga-tiga beradik itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum api merebak dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar dan kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Afandi menasihati semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati- hati terutama ketika cuaca tidak menentu ketika ini dan tidak memandu terlalu laju.

Artikel Berkaitan: