Sila log masuk terlebih dahulu.

Anugerah Sukan Negara ditangguhkan

ASN
ASN
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memaklumkan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang dijadualkan berlangsung pada Selasa ditangguhkan.

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, MSN berkata, penangguhan itu mengambil kira situasi bencana yang sedang melanda negara ketika ini.

"Tumpuan ketika ini seharusnya diberikan kepada mangsa-mangsa yang terbabit. Tarikh baru Majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020 akan dimaklumkan kelak," katanya.

Anugerah tahunan yang diperkenalkan sejak 1966 itu adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan, namun kali ini digabungkan bagi 2019 dan 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berada dalam senarai pendek pencalonan Olahragawan Kebangsaan bagi ASN 2019/2020.

Selain Azizulhasni turut tersenarai adalah Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong pula berada dalam senarai bagi Olahragawati Kebangsaan bersama Tan Cheong Min (wushu), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenping boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet para memanah, S Suresh mengetuai pencalonan diikuti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (para badminton), Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang) dan Chew Wei Lun (boccia), namun tiada pencalonan diterima bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Pemenang bagi kategori Olahragawan, Olahragawati serta Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan membawa pulang sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain - Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.