Bekas ketua unit syarikat automotif dijel 7 hari kerana rasuah

Anggota SPRM membawa Kuang Ming (tengah) ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi pertuduhan kes menerima rasuah RM21,940 berhubung penjualan 21 kereta.
Anggota SPRM membawa Kuang Ming (tengah) ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi pertuduhan kes menerima rasuah RM21,940 berhubung penjualan 21 kereta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah menerima rasuah RM21,940 berhubung penjualan 21 kereta, bekas ketua unit kereta terpakai sebuah syarikat automotif tempatan dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM148,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Cheah Kuang Ming, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 12 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama hingga sembilan, Kuang Ming dipenjara antara satu dan tiga hari bagi setiap kesalahan serta denda berjumlah RM90,700.

Bagi pertuduhan ke-10, dia dipenjara tujuh hari dan denda RM27,500 manakala pertuduhan ke-11 dan 12, tertuduh dipenjara tiga dan lima hari serta denda RM30,000.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini dan tambahan jel 53 bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa secara rasuah telah menerima wang berjumlah RM10,440 ke akaun Maybank miliknya.

Ia diperoleh daripada beberapa individu sebagai balasan untuk memastikan supaya 10 kenderaan dijual kepada empat syarikat automotif.

Bagi pertuduhan ke-10 tertuduh didakwa menerima suapan, iaitu deposit tunai berjumlah RM5,500 dari sebuah syarikat automotif melalui akaun Maybank miliknya sebagai upah mengambil tindakan memilih syarikat itu membeli 11 buah kenderaan dari syarikat automotif tempatan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh didakwa menerima RM6,000 melalui akaun Maybank miliknya, sebagai upah memastikan sebuah syarikat pembangunan perisian sebagai pembekal modul sistem utama kepada sebuah syarikat automotif tempatan.

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail di sini antara 16 Julai 2019 hingga 22 Julai lalu.

Oleh itu, dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

"Dia tidak tahu ia merupakan satu rasuah, kerana beranggapan ia sebagai komisen atau tips daripada pembeli malah ia merupakan amalan biasa bagi penjual kereta terpakai," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhi hukuman pemenjaraan lebih daripada tempoh tujuh hari kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh bertentangan dengan polisi kerjanya.

"Tertuduh tidak boleh menerima komisen kerana ia bertentangan kontrak kerja," katanya.