Syarikat jualan perabot rumah diserbu

Azman Adam (dua, kanan) ketika dalam sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Selangor di sini semalam.
Azman Adam (dua, kanan) ketika dalam sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Selangor di sini semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat di Seri Kembangan di sini diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Serbuan dijalankan berdasarkan hasil aduan awam mengenai tindakan yang dijalankan syarikat jualan perabot rumah tersebut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati syarikat ini tidak mempamerkan maklumat mengenai produknya di atas talian kepada pengguna.

"Berdasarkan siasatan yang kita jalankan mendapati syarikat ini menjalankan kaedah 'personal message', tanpa meletakkan maklumat-maklumat yang lengkap mengenai produk yang dijual.

"Siasatan juga mendapati syarikat ini telah beroperasi sejak Ogos tahun lepas, banyak barang yang dipamerkan namun harga tiada dan gagal meletakkan maklumat produk yang lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor di sini semalam.

Azman Adam (tengah) ketika dalam sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Selangor di sini semalam.
Azman Adam (tengah) ketika dalam sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Selangor di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, gagal meletakkan dan mempamerkan produk yang dijual merupakan satu kesalahan.

"Pihak KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi sepenuhnya undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Manakala bagi pengguna pula, kami menasihati agar teliti dahulu produk atas talian ini sepenuhnya sebelum bertindak membeli, kepada peniaga sila pamerkan maklumat yang selengkapnya untuk mengelak kekeliruan oleh pengguna," katanya.

Tambahnya kes berkenaan mendapati syarikat tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (urus niaga perdagangan elektronik) 2012.

"Buat masa ini siasatan masih lagi dijalankan dan kita telah mengambil keterangan daripada pengarah syarikat berkenaan.

"Dalam kes ini, sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1989," katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, sebanyak 194 aduan berkaitan jualan atas talian yang diterima pihaknya untuk tahun ini bermula pada awal Januari lalu.