Penduduk Kampung Tersang tak jangka banjir besar

Penduduk setempat, Khairul Anuar Muhamad, 37, (kiri) menarik sampan bersama isteri dan anaknya untuk berpindah ke rumah saudara mereka setelah rumah mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
Penduduk setempat, Khairul Anuar Muhamad, 37, (kiri) menarik sampan bersama isteri dan anaknya untuk berpindah ke rumah saudara mereka setelah rumah mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Kira-kira 300 penduduk daripada 58 keluarga di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, tidak menyangka banjir besar berlaku di kampung mereka pada kali ini.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata walaupun kediaman mereka terletak kurang 50 meter dari Sungai Golok, namun banjir kali ini disifatkan luar biasa apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter.

Warga emas yang paling lama menetap di kampung tersebut, Yah Umat, 78, berkata banjir kali ini menjadi sejarah buat dirinya apabila kampung tersebut dinaiki air sejak Jumaat lepas.

"Sepanjang saya tinggal di kampung ini sejak lebih 50 tahun lepas, ini kali pertama saya berdepan banjir luar biasa ini. Tak pernah air naik sedalam tiga meter dan deras daripada kebiasaan sehingga menenggelamkan jalan kampung yang terletak di kawasan tinggi.

"Sebelum ini, walaupun banjir, air tak pernah masuk ke dalam rumah, cuma di kawasan luar sahaja tetapi kali ini, air masuk ke dalam rumah hingga mencecah paras dada," katanya yang ditemui pemberita di kampung berkenaan, pada Isnin.

Berikutan itu, Yah berkata, beliau memutuskan untuk berpindah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh kerana bimbang banjir bertambah buruk berikutan air dari hulu sungai mula bergerak ke kawasan hilir.

"Saya sedih nak tinggalkan rumah tetapi nyawa lebih penting, sebab itu saya memutuskan untuk berpindah dengan bantuan anak-anak. Mujur ada pihak yang membantu saya pindah dengan menggunakan perahu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Din Abdul Rahman, 57, berkata walaupun sudah biasa berdepan banjir yang berlaku setiap tahun namun kali ini bencana berkenaan dilihat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Memang rumah penduduk di kawasan ini berdekatan Sungai Golok dan jika banjir berlaku, kami antara yang terawal terkesan dengan bencana tersebut.

"Apa yang berlaku hari ini boleh dianggap sebagai sejarah kerana air tak pernah sedalam dan sederas ini. Ramai yang berpindah ke tempat selamat kerana risaukan keselamatan masing-masing," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) turut membantu memindahkan penduduk ke PPS menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kampung Tersang merupakan antara kawasan sering dinaiki air dan mengambil masa yang lama untuk surut berikutan banjir termenung. - Bernama