Rakyat Kelantan rugi lebih RM17 juta diperdaya penjenayah siber

Datuk Shafien Mamat
Datuk Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan mengalami kerugian lebih RM17 juta akibat terjerat penipuan penjenayah siber dalam tempoh Januari sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu sebanyak 770 kes direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan berbanding 812 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Jumlah kes dan kerugian yang dicatatkan masih tinggi walaupun ada penurunan sebanyak 42 kes atau 5.2 peratus pada dua tempoh tersebut.

“Jumlah kerugian dialami mangsa pada tahun ini sebanyak RM17,564,480 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM17,563,710,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis (IPK) di sini pada Isnin.

Shafien sebelum itu menyampaikan surat penghargaan kepada 112 anggota, pegawai dan kakitangan awam yang cemerlang dalam tugasan mereka.

Beliau mengulas lanjut, kegiatan penipuan berkenaan melibatkan e-dagang yang mencatatkan 310 kes, pinjaman tidak wujud (110 kes), Macau Scam (59 kes), Love /Parcel Scam (49 kes), penipuan pelaburan dalam talian (69 kes), jenayah siber lain-lain (81 kes) dan jenayah komersial lain-lain (92 kes).

“Salah satu faktor penyumbang kepada kes-kes jenayah komersial yang masih tinggi berpunca daripada sikap kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kegiatan penipuan siber.

“Pihak JSJK Kelantan akan terus berusaha mempertingkatkan operasi membanteras kegiatan jenayah penipuan siber di samping mengadakan kempen-kempen kesedaran dan memberi pengetahuan kepada masyarakat terhadap trend jenayah komersial terkini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shafien berkata, indeks jenayah di negeri ini dalam tempoh sama menurun sebanyak 476 kes iaitu 1,837 tahun ini berbanding 2,313 pada tahun sebelumnya.

“Pada tempoh sama itu, dua kategori jenayah menunjukkan peningkatan iaitu rogol kepada 99 kes daripada 92 kes dan jenayah samun berkumpulan bersenjata api sebanyak dua kes berbanding rekod sifat tahun lalu manakala selainnya mencatatkan penurunan.

“Kes jenayah dadah dan tangkapan berkaitan juga menurun daripada 12,921 kes kepada 9,047 dan 16,336 tangkapan kepada 11,389,” katanya.