Banjir: Tujuh maut, seorang masih hilang di Selangor

Tujuh maut, manakala seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam insiden banjir sejak Sabtu lalu.
Tujuh maut, manakala seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam insiden banjir sejak Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tujuh maut, manakala seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam insiden banjir sejak Sabtu lalu.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, daripada jumlah itu, sebanyak empat mayat ditemukan di kawasan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

"Setakat jam 2.30 petang, tiga ditemui lemas dan seorang mangsa dijumpai meninggal dunia di ruang atas rumah di Taman Sri Muda di sini," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bahagian Operasi dan Penyelamat), Datuk Nor Hisham Mohammad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, mangsa lemas yang pertama ditemui pada Sabtu, manakala dua lagi mangsa lemas dijumpai pada Ahad.

"Seorang wanita dipercayai warga Indonesia berusia 40 tahun ditemui meninggal dunia di dalam rumah di sini pada Isnin," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui dua mangsa dipercayai lemas di Dengkil, Sepang.

"Ia adalah dua kes berasingan, identiti mangsa belum dikenal pasti.

"Kita turut menjumpai mayat seorang lelaki yang juga pemandu treler di Desa Coalfields, Kuala Selangor pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lelaki pula dilaporkan hilang di Sungai Pinang, Klang, semalam dipercayai terjatuh ke dalam parit," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan sukarelawan untuk membantu, namun mereka disarankan mendaftar dengan pihak berkuasa sebelum melaksanakan operasi bantuan.

"Kita meminta semua yang ingin membantu supaya mendaftar dengan pihak berkuasa agar ia dapat diselaraskan serta keselamatan mereka terjamin.

"Kita mahu menyelamatkan orang, pada masa sama kita juga perlu memastikan keselamatan diri sendiri semasa melakukan operasi bantuan,” ujarnya.