'Tak perlu cari salah sesiapa'

Osman (dua, kanan) mendengar penerangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) berhubung isu tersebut.
A
A

PASIR GUDANG - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menguruskan bencana pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, dengan cekap, cepat dan selamat.

Menurutnya, ketika ini, semua pihak tidak perlu menuding jari mencari salah mana mana pihak, dan cuba bermain politik kerana fokus utama adalah menumpukan kerja-kerja pengawalan, selain mengurus serta merawat pesakit yang telah menerima kesan daripada pencemaran itu.

“Saya mohon kepada semua rakyat untuk berdoa dan memberi sokongan terutama kepada mangsa dan juga keluarga yang terkesan daripada pencemaran ini.

“Saya tegaskan sekali lagi jangan menyebar sebarang berita palsu sebaliknya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam mengurus bencana ini,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini sebentar tadi.

Osman berkata, beliau bersama pihak berkaitan telah berbincang mengenai langkah-langkah segera berhubung insiden tersebut, selain sudah memulakan kerja membuang sisa toksik di Sungai Kim Kim.

“Pada malam ini, kita akan teruskan. Sekarang ini ada satu kontraktor melakukannya dan kita akan melantik dua lagi supaya kerja kerja pembersihan ini dapat dilaksanakan dengan segera, kalau boleh secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak polis juga telah dilakukan berkaitan pelaku pencemaran tersebut supaya tindakan segera dan lebih drastik dapat diambil dalam masa terdekat.

“Selain daripada itu kita juga telah pun menggerakkan pelbagai bentuk kawalan kawalan yang lain, semasa kita menjalankan tugas ini. Dengan kawalan daripada PDRM, bomba dan sebagainya,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia