Pahang rekod 24,944 mangsa banjir

Taman Perumahan di Cenderawasih dinaiki air awal pagi Isnin.
Taman Perumahan di Cenderawasih dinaiki air awal pagi Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 24,944 mangsa banjir daripada 6,658 keluarga kini berada di 230 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, setakat pagi Isnin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding petang Ahad iaitu 180 yang dibuka membabitkan 12,631 orang daripada 3,549 keluarga.

Menurutnya, daerah Kuantan merekodkan paling ramai mangsa iaitu seramai 13,641 orang daripada 3,571 keluarga.

"Kesemua mangsa ini telah ditempatkan di 42 PPS di daerah Kuantan diikuti Temerloh 3,454 mangsa daripada 938 keluarga ditempatkan di 44 PPS dan di Raub (1,861 mangsa) daripada 508 keluarga ditempatkan di 41 PPS.

"Di daerah Lipis pula, sebanyak 544 keluarga (1,812 mangsa) berada di 35 PPS manakala Jerantut melibatkan seramai 138 mangsa daripada 319 keluarga ditempatkan di 26 PPS," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau memaklumkan seramai 1,118 mangsa daripada 275 keluarga ditempatkan di 22 PPS di daerah Maran.

Tambahnya, Bentong membabitkan seramai 1,044 mangsa daripada 271 keluarga ditempatkan di dua PPS.

"Pekan, seramai 762 mangsa daripada 204 keluarga ditempatkan di 13 PPS dan Bera 113 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di lima PPS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Che Adam berkata, keadaan banjir di negeri ini juga menunjukkan trend meningkat sehingga petang ini.

Jelasnya, ramalan itu dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang.