Perak kutip cukai tanah teroka haram lebih RM250,000

Saarani - Foto Bernama
Saarani - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berjaya mengutip sebanyak RM252,777 hasil cukai tanah yang telah diteroka secara tidak sah bagi tujuan pertanian menerusi program pemutihan yang dilaksanakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi kategori penternakan pula, sebanyak RM6,875 diterima hasil kutipan cukai tanah yang telah diteroka secara tidak sah.

Menurutnya, dianggarkan kawasan seluas kira-kira 6,072 hektar telah dikenal pasti dan sedang dilaksanakan program pemutihan pertanian oleh Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Perak bagi tanah kerajaan yang diteroka secara haram.

"Program pemutihan pertanian dilaksanakan seperti pengujudan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB), pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan sebagainya.

"Daripada program pemutihan yang dijalankan, dianggarkan hampir 10,000 pengusaha akan mendapat hak milik, pajak sewa atau lesen," katanya ketika menjawab soalan lisan Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) pada Persidangan Ketujuh, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak juga bersetuju melaksanakan program pemutihan bagi kawasan yang diteroka haram dengan melupuskan kawasan tersebut seluas kira-kira 5,959 hektar kepada beberapa anak syarikat kerajaan negeri.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Chung Sen mengenai pengusiran kira-kira 130 petani yang meneroka tanah kerajaan di Kanthan, Saarani menjelaskan, kawasan Silver Valley Technology Park itu merupakan zon perindustrian.

Katanya, disebabkan itu kawasan tersebut tidak boleh diberikan kepada petani untuk diusahakan bagi tujuan pertanian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan negeri menyediakan satu kawasan lain yang merupakan zon pertanian untuk membolehkan petani meneruskan usaha mereka.