RM200 juta diperuntukkan tangani impak banjir

Mangsa banjir di sekitar Kampung Belukar dan Kampung Razali ditempatkan di PPS Dewan PM Najib di Kampung Belukar semasa tinjauan foto Bernama malam tadi. Foto Bernama
Mangsa banjir di sekitar Kampung Belukar dan Kampung Razali ditempatkan di PPS Dewan PM Najib di Kampung Belukar semasa tinjauan foto Bernama malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

DUA hari selepas negara dilanda hujan lebat tanpa henti yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa buah negeri, banyak kerosakan dan barang keperluan musnah sehingga mencecah jutaan ringgit.

Sehubungan itu, pada Ahad, kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagai usaha menangani impak banjir dan pengaktifan rangkaian bencana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)/Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

Kata beliau, kerajaan juga akan meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut atau terkesan daripada apa-apa bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Sementara itu, kerosakan akibat banjir yang melanda di seluruh negara sejak Jumaat dianggar mencecah ratusan juta ringgit.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman menjelaskan, anggaran itu mengambil kira kepadatan penduduk terutama di Lembah Klang selain skala banjir kali ini menjejaskan lebih banyak kawasan.

Ujar beliau, jika dilihat skala rumah yang ditenggelami air, ia kawasan yang terjejas agak besar. Tentunya, situasi ini membabitkan kerosakan alat-alat elektronik di rumah dan kenderaan. Apatah lagi, banjir pada musim ini berlaku dalam keadaan mengejut.

Pada masa sama kata Mohd Daud, sekolah, pasar raya dan lain-lain infrastruktur juga terkesan. Kerosakan ini, boleh mencecah ratusan juta ringgit kerana ia melibatkan hampir sebahagian besar kawasan di Lembah Klang secara serentak.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang meningkat seramai 12,631 orang melibatkan 3,549 keluarga setakat jam 4 petang Ahad.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa telah dipindahkan ke 180 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan sembilan daerah.

Menurutnya, daerah Kuantan merekodkan mangsa paling ramai iaitu seramai 5,679 orang daripada 1,679 keluarga dan ditempatkan di 30 buah PPS.

Sementara itu, sebanyak 333 pencawang elektrik di Pahang, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup sementara atas faktor keselamatan sejak Sabtu berikutan banjir melanda di negeri tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din berkata, sehingga jam 12 tengah hari Ahad, penutupan pencawang elektrik ini membabitkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.

Sebanyak 137 pencawang ditutup di Pahang, Kelantan (7) Selangor (117), Kuala Lumpur (45) Melaka (10) dan Negeri Sembilan (17).